
LATAR BELAKANG PIMPIN

Bermula sebagai MPPUiTM
Majlis Perwakilan Pelajar ( MPP ) UiTM merupakan sebuah organisasi pelajar yang ditubuhkan untuk mewakili dan membawa suara para pelajar di UiTM.
Penubuhan MPP UiTM merupakan suatu keperluan mandatori di mana penubuhannya dijamin dalam Akta Institusi-Institusi Pelajaran ( Tatatertib ) 1976, Akta 174 yakni akta yang diguna pakai untuk mentadbir Hal Ehwal Pelajar di UiTM.
Pembentukan Majlis Perwakilan Pelajar ini diadakan melalui proses pemilihan wakil mahasiswa dan tertakhluk pada peraturan yang ditetapkan oleh pihak universiti. Sehingga kini, pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar telah dijalankan di kesemua kampus termasuk kampus induk yang jumlah kesemuanya ialah 13 cawangan.

2006 - 2011
Penubuhan Alumni MPPUiTM
Penubuhan Alumni MPP UiTM merupakan satu langkah, kata sepakat serta inisiatif yang telah dilontarkan oleh bekas-bekas ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM yang pernah menjadi anggota majlis pelajar ini di UiTM. Ini kerana, kesinambungan kecemerlangan serta reputasi Majlis Perwakilan Pelajar UiTM perlu dikembangkan lagi di samping bagi merapatkan hubungan antara generasi pemimpin pelajar yang ada di UiTM ini ke arah membantu universiti menjadi sebuah universiti bertaraf dunia pada masa akan datang.
Secara rasminya Alumni MPP UiTM diwujudkan pada tahun 2006 dan ia ditubuhkan di bawah perlembagaan persatuan dalaman UiTM. Sehingga kini, keahlian MPP UiTM yang terdiri daripada UiTM induk dan semua cawangan UiTM, sudah mencapai 3400 lebih orang ahli. Sejak penubuhannya, pelbagai perancangan telah dijalankan di samping misi utama dalam merapatkan hubungan silaturrahim antara barisan kepimpinan MPP yang sedia ada.

2011 - KINI
Persatuan Alumni Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (PIMPIN)
KINI Persatuan Alumni MPPUiTM dikenali sebagai Persatuan Alumni Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA Malaysia atau “PIMPIN” yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan dibawah Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966 pada 9 Mac 2011(No. Pendaftaran PPM-012-10-03092011).
Penubuhan persatuan ini menjadi badan pelengkap yang menghimpunkan barisan bekas kepimpinan mahasiswa yang tertinggi di dalam UiTM.
Jaringan yang diwujudkan melibatkan pemimpin mahasiswa UiTM termasuk di kampus-kampus cawangan seluruh Malaysia merupakan satu agenda dalam meneruskan kesinambungan dan kesepakatan demi perjuangan memajukan agama, bangsa dan negara.
PIMPIN merupakan satu-satunya organisasi Alumni Majlis Perwakilan Pelajar seumpamanya di Malaysia kini menaungi lebih 3400 Alumni MPPUiTM dari tahun 2001 sehingga kini. Dengan kekuatan bakat dan daya kepimpinan yang dimiliki, PIMPIN merupakan satu aset penting yang sewajarnya dilihat dan diberi perhatian oleh pihak Kerajaan khususnya dalam melahirkan agen pendukung aspirasi negara.
